masih tiada mood untuk menulis di blog....
^^ummi muadz^^: 2009-10-04
Assalamualaikum ashabul blog sekalian... ahlan wa sahlan wa marhaban bikum...

Friday, October 9, 2009

.::.Antara sabar dan mengeluh.::.

Pada zaman dahulu, ada lelaki bernama Abu al-Hassan yg pergi menunaikan haji di Baitul Haram. Ketika dia sedang tawaf, tiba2 ia melihat seorang wanita yg berseri dan bersinar wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati".

Tiba2 wanita itu mendengar ucapan Abu al-Hassan lalu ia bertanya, "Apakah yg kamu katakan wahai saudaraku? demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tidak seorang pun yg mengetahui akan hal ku ini".

Abu al-Hassan bertanya,"apakah hal yg merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan di sisi aku ketika itu sudah ada 2org anak yg sudah boleh bermain dan yg 1 masih lagi menyusu, dan ketika aku bangun utk membuat makanan, tiba2 anakku yg lebih besar berkata kepada adiknya, "wahai adikku, sukakah jika aku tunjukkan kepadamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"

Adiknya menjawab,"baiklah kalau begitu abangku".

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu, kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan dia lari ke bukit yg mana di sana ia dimakan oleh serigala. Lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga ia mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku utk keluar mencari suamiku, tiba2 bayiku merangkak menuju ke periuk yg berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas dan terkena pada badannya sehingga habis melecur kulit badannya. berita ini sampai ke pengetahuan anakku yg telah berkahwin dan tinggal di daerah yg lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai pada ajalnya. dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua. "

Lalu Abu al-Hassan bertanya lagi, "bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yg sangat hebat ini?"

Wanita itu menjawab, "tiada seorang pun yg dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh kecuali ia menemui di antara ke2 nya ada jalan yg berbeza. Adapun sabar drngan memperbaiki yg lahir, maka hal itu baik dan terpuji baginya. Dan mengeluh pula, maka orang itu tidak akan mendapat ganti apa yg telah pergi dari sisinya. Dan itu adalah sia2."

Begitulah 1 kisah yg dapat kita jadikan pengajaran di mana kesabaran itu sgt digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yg beriman kpd Allah dalam menghadapi setiap musibah yg melanda hatinya.

Sabda Rasulullah dalam firman Allah melalui sebuah hadis Qudsi menyatakan bahawa, 'tidak ada balasan bg hamba-KU yg mukmin, jika aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya'.

Begitu juga dengan mengeluh. Perbuatan ini sgt dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah bersabda: "3 daripada tanda kekafiran terhadap Allah ialah mengoyakkan baju, mengeluh dan menghina keturunan seseorang".

Dalam sabda Baginda yg bermaksud,"Mengeluh itu termasuk dalam kebiasaan Jahiliyyah, dan org yg mengeluh jika ia mati sebelum bertaubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka". (Riwayat oleh Imam Ibn Majah).

~SEMOGA KITA MENJADI HAMBA YG SABAR DALAM MENGHADAPI SEGALA MUSIBAH~

Tuesday, October 6, 2009

.::.bahaya yg kita tak tahu.::.

15 September 2009, genap lima tahun sambutan Hari Kesedaran Limfoma Sedunia sejak dilancarkan pada 2004.

Walaupun sudah lima tahun, tidak ramai tahu mengenainya, malah perkataan ‘limfoma’ masih terlalu asing bagi kebanyakan orang dalam masyarakat kita kecuali yang ada ahli keluarga menghidap penyakit ini.

Apa itu limfoma? Limfoma ialah kanser pada sistem limfa. Sistem limfa membentuk sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Ia membabitkan organ, duktus dan nodus limfa. Ia membawa cecair jernih dipanggil limfa.

Komposisi limfa lebih kurang sama dengan plasma (cecair kuning pucat diperoleh daripada darah) tetapi kurang kandungan protein dan beberapa sel.

Sistem limfa ada di semua bahagian badan kecuali sistem saraf pusat (di tulang belakang). Bahagian utama sistem limfa ialah sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan tonsil. Ia juga ada pada semua organ, termasuk jantung, paru-paru, hati, usus dan kulit.

Sistem limfa boleh diumpamakan sebagai jaringan perparitan yang membantu mengekalkan keseimbangan paras cecair badan dan melindungi badan daripada jangkitan.

Sistem limfa membabitkan jaringan salur limfa yang membawa cecair jernih dipanggil limfa — mengandungi molekul protein, garam, glukos, urea dan bahan lain ke seluruh badan.

Antara tugas penting sistem limfa ialah mengutip cecair berlebihan daripada tisu badan dan mengembalikannya ke dalam darah.

Proses ini penting kerana air, protein dan lain-lain bahan sentiasa ‘bocor’ daripada salur darah halus dan memasuki tisu badan. Jika sistem limfa tidak ‘mengutip’ cecair berlebihan ini, tisu akan membengkak.

Sistem limfa juga bertindak sebagai barisan pertahanan yang melindungi badan daripada bakteria, virus dan fungus yang boleh menyebabkan penyakit.

Kuman ini ditapis di nodus limfa yang mengandungi sel darah putih (limfosit). Limfosit menghasilkan antibodi iaitu protein khas yang melawan dan memusnahkan kuman.

Nodus limfa berbentuk kacang, bersaiz antara beberapa milimeter ke satu hingga dua sentimeter. Ia bersambung dengan banyak salur limfa yang halus membawa cecair dari tisu. Nodus limfa boleh menjadi besar (bengkak) disebabkan jangkitan atau ketumbuhan.

Dinding salur limfa yang halus (dipanggil kapilari) sangat telus. Jadi pergerakan cecair daripada tisu ke dalam salur kapilari limfa berlaku sepanjang masa.

Tidak seperti sistem edaran darah, sistem limfa tiada tekanan dan ia bergerak dalam arah sehala secara perlahan-lahan ke arah nodus limfa.

Limfa mengagihkan sel darah putih dan beberapa faktor penting ke seluruh badan. Ia juga berhubungan dengan sistem aliran darah untuk menyingkir cecair daripada sel dan tisu.

Limfosit adalah komponen penting bagi sistem imun yang bertanggungjawab memusnahkan bahan asing seperti virus, bakteria atau fungus yang masuk ke dalam badan.

Limfoma terjadi apabila limfosit tidak normal terbentuk terlalu cepat atau hidup terlalu lama. Bagi sel darah putih yang normal, jangka hayatnya kira-kira 120 hari saja.

Sel limfosit ini boleh berkumpul pada nodus limfa atau pada mana-mana sistem limfa untuk membentuk tumor atau ketumbuhan.

Punca sebenar limfoma tidak diketahui. Banyak pendapat mengaitkan bahan kimia tertentu yang digunakan dalam racun serangga dan pengawet kayu dengan limfoma.

Malah, penerima organ yang mengambil ubat anti penolakan dan individu yang ada masalah daya ketahanan badan seperti penghidap jangkitan HIV juga boleh mendapat limfoma. Bagaimanapun, limfoma tidak berjangkit dan tidak diwarisi.

Sehingga kini dianggarkan ada kira-kira sejuta pesakit kanser limfoma dengan lebih 360,000 kes baru dan 200,000 kematian setiap tahun. Sesetengah jenis limfoma sukar dikesan dan selalu disalah anggap dengan penyakit biasa seperti flu atau selesema.

Walaupun limfoma antara kanser paling cepat merebak dengan satu juta pesakit dan 1,000 kes baru dikesan setiap hari di seluruh dunia, soal selidik antarabangsa mendapati:

Hanya 49 peratus orang tahu mengenai fungsi nodus limfa

Meskipun responden pernah mendengar perkataan limfoma, 52 peratus mengakui tidak tahu mengenainya

Kira-kira 67 peratus responden tidak tahu limfoma adalah sejenis kanser yang mempunyai kadar pertumbuhan paling cepat di dunia

Limfoma boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak. Di Malaysia, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Ketiga mengenai Insiden Kanser di Semenanjung Malaysia 2003-2005 mencatatkan limfoma antara 10 jenis kanser paling lazim. Insiden limfoma di kalangan lelaki ialah 6.2 peratus dan 3.4 peratus pada wanita berbanding semua jenis kanser.

Perunding Haematologi, Dr Ng Soo Chin, berkata kanser ini terbahagi kepada dua iaitu:

Limfoma Hodgkin — Ini adalah jenis limfoma yang jarang berlaku dan dikategorikan dengan kehadiran sel tumor tidak normal dipanggil sel Reed Sternberg yang tidak ditemui pada limfoma lain. Jika diberi rawatan sesuai, 75 peratus pesakit boleh sembuh.

Limfoma bukan Hodgkin (NHL) — Ini adalah kanser paling lazim pada sistem limfa. Ia boleh dibahagikan kepada limfoma sel B (80 hingga 85 peratus) dan limfoma sel T (15 peratus). Limfoma NHL lebih kerap berlaku pada orang dewasa dan kes paling banyak dicatatkan dalam lingkungan umur 45 hingga 60 tahun.

Walaupun ada lebih 30 jenis limfoma NHL, secara umumnya ia dibahagi kepada tiga kumpulan utama mengikut kadar pertumbuhan tumor sama ada perlahan, sederhana ke cepat dan sangat cepat.

Gejala limfoma

Sesetengah jenis limfoma sukar dikesan kerana kadangkala ia tidak menunjukkan gejala dan jika ada, ia sering disalah anggap sebagai penyakit biasa seperti selesema atau flu.

Biasanya kes hanya dikesan secara tidak sengaja apabila seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan atau ujian untuk penyakit lain.

  • Nodus limfa pada leher, ketiak dan celah kangkang bengkak tetapi tidak sakit
  • Berpeluh banyak pada waktu malam
  • Demam berulang kali
  • Berat badan menurun (turun 10 peratus dalam tempoh lebih enam bulan) dan hilang selera makan
  • Batuk yang tidak berhenti dan sesak nafas
  • Gatal seluruh badan tanpa sebab nyata

Tidak kira apa jenis kanser pun, kebanyakan pesakit sukar menerima hakikat mereka diserang penyakit berbahaya ini. Kebanyakan pakar berdepan cabaran besar untuk memaham dan meyakinkan pesakit serta ahli keluarga mereka bahawa limfoma adalah kanser yang boleh merebak.

Justeru, ia perlu dirawat secepat mungkin supaya rawatan memberi hasil lebih baik. Pada masa sama sokongan keluarga dan rakan penting untuk membantu pesakit menjalani pemeriksaan serta rawatan.

Diagnosis dan rawatan

Rawatan untuk limfoma NHL bersifat individu dan berbeza antara pesakit. Ia bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis limfoma dihidapi (sama ada lambat atau cepat merebak), kes baru atau berulang, keadaan penyakit, umur dan tahap kesihatan pesakit secara keseluruhan.

Presiden Persatuan Haematologi Malaysia ini berkata, perkara paling penting dalam rawatan limfoma ialah pesakit mendapat diagnosis (pengesahan) betul pada peringkat awal.

Ini kerana strategi rawatan berbeza mengikut jenis kanser dihidapi. Selepas disahkan, limfoma perlu dirawat oleh pakar haematologi atau onkologi dan pada masa sama pesakit boleh memilih di mana mereka mahu mendapatkan rawatan.

Pilihan terbaik ialah pusat di mana pesakit dirawat haematologi atau onkologi dengan sokongan jururawat onkologi terlatih, mempunyai perkhidmatan pengimejan, radioterapi, 24 jam perkhidmatan kecemasan, bank darah dan farmasi.

“Ini penting kerana sesetengah pesakit limfoma mungkin sakit teruk atau mengalami komplikasi dalam tempoh rawatan. Ketika ini pakar haematologi memerlukan bantuan pakar lain.

“Jika pusat rawatan itu juga ada kemudahan pemindahan sumsum tulang atau sel stem, itu lebih baik kerana limfoma boleh datang balik pada bila-bila masa dan kes seperti ini memerlukan pemindahan sel stem haemopoetik untuk membunuh penyakit,” katanya.

Tujuan utama rawatan ialah menyembuhkan penyakit, memanjangkan tempoh bebas daripada penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Antara strategi rawatan digunakan kini ialah:

Tunggu dan lihat: Kaedah ini hanya untuk limfoma yang menunjukkan perkembangan sangat perlahan dan pesakit mengalami sedikit atau tiada gejala langsung. Dalam tempoh ini pesakit perlu kerap berjumpa doktor dan segera memaklumkan doktor jika ada gejala baru muncul. Bagaimanapun, kewujudan ubat berkesan dengan sedikit kesan sampingan menjadikan pendekatan ini kurang menarik kerana kebanyakan pesakit dibelenggu kebimbangan.

Kemoterapi: Ubat kemoterapi bertujuan membunuh sel limfoma di seluruh badan. Ada banyak jenis ubat kemoterapi untuk merawat kanser. Jenis ubat bergantung kepada jenis kanser dihidapi.

Pesakit boleh diberi rawatan kemoterapi saja tetapi biasanya doktor menggabungkan beberapa kaedah seperti ubat kemoterapi dan antibodi monoklonal. Pesakit mungkin alami kesan sampingan sementara kemoterapi seperti mual, muntah, keguguran rambut dan jumlah darah yang rendah.

Antibodi monoklonal: Ini adalah ubat kelas baru yang menukar sepenuhnya kaedah rawatan limfoma NHL. Antibodi monoklonal yang digunakan untuk merawat limfoma ialah rituximab; ia memusnahkan sel limfosit B saja. Ubat ini kurang kesan sampingan berbanding terapi kanser yang lain.

Radiografi (radiasi): Sinar-X bertenaga tinggi digunakan untuk membunuh sel limfoma dan hanya untuk kanser yang berkumpul pada satu atau dua tempat.

Transplan: Transplan atau pemindahan sel stem haemopoetik (sel induk yang menghasilkan semua jenis sel darah) antara rawatan pilihan untuk pesakit limfoma NHL yang agresif atau penyakit menyerang semula.

Kaedah rawatan biasanya membabitkan pemberian ubat kemoterapi pada dos tinggi yang memusnahkan sumsum tulang dan semua sel kanser. Sumsum tulang yang musnah kemudian diganti dengan sel stem haemopoetik yang diambil sebelum kemoterapi.

Harapan baru

Menurut Dr Ng, perkembangan dunia perubatan membantu proses pengesanan dan klasifikasi limfoma dengan tepat. Perkembangan ini memang dinanti kerana ia bukan saja mampu membantu doktor merangka pelan rawatan bersesuaian, malah tindak balas pesakit terhadap rawatan juga lebih baik.

Antara perkembangan itu ialah:


Ujian makmal menggunakan kaedah Immunohistokemistri (IHC) — membolehkan pengesanan yang tepat dan jika dirawat awal, pesakit ada peluang lebih baik untuk sembuh.


Pengimejan seperti Imbasan CT dan PET membantu pakar haematologi mengesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai.


Kehadiran penjagaan sampingan lebih baik selepas kemoterapi seperti anti emetik dan antibiotik membolehkan pesakit menangani kesan sampingan kemoterapi dengan lebih baik.


Hasil rawatan limfoma NHL meningkat jauh lebih baik dengan penggunaan antibodi monoklonal seperti rituximab yang diberi bersama kemoterapi bagi limfoma NHL bersifat perlahan atau agresif. Ramai pesakit sembuh dan hidup lebih lama.


Pemindahan sel stem haemopoetik memberi harapan baru kepada pesakit yang menghidap limfoma agresif atau yang menyerang semula.


Agen terapi baru seperti zevalin iaitu radioimunoterapi yang tindakannya hanya tertumpu kepada sel limfoma saja (tiada kesan pada sel normal) menjadikan rawatan lebih baik.


Penerimaan di kalangan pakar perubatan bahawa limfoma memerlukan regimen rawatan khas. Contohnya limfoma Burkitt perlu dirawat secara intensif sama seperti leukemia, manakala limfoma sistem saraf pusat pula memerlukan agen kemoterapi yang boleh menembusi halangan salur darah pada otak untuk sampai terus ke kawasan kanser.

Namun, kata Dr Ng, yang penting ialah kesediaan pesakit menerima rawatan secepat mungkin. Pesakit perlu mendapatkan penjelasan terperinci daripada doktor mengenai komplikasi yang mungkin dialami sepanjang sesi rawatan kemoterapi.

Doktor juga perlu dimaklumkan jika pesakit mahu mengambil makanan tambahan kerana ia boleh memberi kesan sampingan. Pesakit perlu mematuhi temujanji susulan supaya doktor boleh memantau perkembangan mereka sepanjang tempoh rawatan.

“Pesakit boleh mendapat banyak maklumat mengenai pelbagai aspek pengurusan limfoma daripada Internet. Ini memudahkan mereka memahami penyakit dan bertanya doktor jika ada kemusykilan. Rawatan akan lebih berkesan jika pesakit patuh kepada peraturan rawatan dan paling penting sentiasa berfikiran positif,” katanya.